Adakah anda melabur di ASB?

ASN, ASB: Beri perbezaan fatwa kebangsaan, negeri


KUALA LUMPUR, 21 Okt: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai perbezaan fatwa di peringkat kebangsaan dan negeri berhubung pelaburan dalam Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, ini kerana Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April lalu memutuskan bahawa Pelaburan ASN dan ASB dan seumpamanya adalah tidak halal kerana ia masih belum menepati hukum syarak.

Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008 memutuskan ianya adalah harus.

"Sebahagian besar daripada pelaburan ASN dan ASB adalah di dalam faktor kewangan konvensional yang membabitkan keuntungan berasaskan riba dan pasaran wang. Apakah fatwa di peringkat Persekutuan berlainan daripada fatwa negeri Selangor? Hadis Rasulullah SAW bermaksud, “Tidak bercampur antara halal dan haram melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal.," katanya ketika membahaskan belanjawan 2012 di dewan Rakyat kelmarin.

Siti Mariah yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut menggesa kerajaan menghapuskan sistem riba dengan tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman yang dibuat namun cukup sekadar mengenakan yuran kepada rakyat.

"Sudah sampai masanya kerajaan tidak lagi terlibat dengan unsur riba. Semua pinjaman kerajaan perlulah diberi secara tanpa faedah. Kerajaan tidak boleh mengambil keuntungan daripada rakyatnya sendiri.Walau bagaimanapun yuran pengurusan yang berpatutan adalah wajar," katanya.

Katanya, bagi merealisasikan negara tanpa riba, kerajaan harus membuat perancangan berperingkat untuk tidak lagi terlibat dengan riba seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat katanya pernah meminta Menteri Kewangan mengasingkan pendapatan haram dan halal.

"Ahli Parlimen di sebelah sini termasuk daripada DAP sendiri sudah beberapa kali meminta Menteri Kewangan untuk mengasingkan pendapatan dari sumber haram daripada yang halal. Cukai arak, cukai judi, cukai perniagaan khinzir dan lain-lain yang sewaktu dengannya yang faedah diperolehi daripada pinjaman daripada kakitangan kerajaan perlu diasingkan dan digunakan untuk perkara-perkara yang dibolehkan oleh syarak," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus memastikan syaraikat berkaitan kerajaan (GLC) mengamalkan pematuhan syariah dalam semua perkhidmatan dan perniagaan.

No comments:

Post a Comment